Pengesanan Kes Secara Aktif Dijalankan Di Kampung Muara Tuang

ISNIN, 15 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN : Seramai 1,500 penduduk daripada 180 buah rumah dari Kampung Muara Tuang akan menjalani saringan Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) COVID-19, anjuran Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Samarahan.

Ujian saringan itu dijalankan dari rumah ke rumah dan diadakan juga bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Muara Tuang bermula jam 8:30 pagi sehingga 3:00 petang, Isnin.

Seramai 84 petugas telah membantu dalam mengendalikan proses saringan itu, termasuk petugas daripada Pejabat Residen Bahagian Samarahan, Polis DiRaja Malaysia Kota Samarahan, RELA Daerah Samarahan, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Samarahan dan Jabatan Kebajikan dan Masyarakat Bahagian Samarahan.

Program ACD tersebut dilakukan atas arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan susulan penularan kes COVID-19 di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS

Share

add comment