Penglibatan Ketua Masyarakat Ditekankan Hadapi Pandemik COVID-19

ISNIN, 15 FEBRUARI 2021

SRI AMAN : Penglibatan Ketua-Ketua Masyarakat amat diperlukan bagi memastikan komuniti terutamanya di kawasan rumah panjang dan kampung, sentiasa peka dan prihatin dengan isu semasa.

Sehubungan dengan itu, satu Program Community Policing dan Taklimat Program Vaksinasi Daerah Sri Aman telah diadakan pada Isnin, bertempat di Bilik Mesyuarat Kompleks Penyayang, bagi memperjelaskan peranan masing-masing termasuk tindakan yang perlu diambil dalam usaha sama menghadapi pandemik COVID-19.

Melalui program itu, penekanan yang diutamakan adalah mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Proses Pemvaksinan Komuniti.

SOP bagi Proses pengebumian dan majlis sosial sangat dititikberatkan kerana ia merupakan antara penyumbang utama kepada penularan jangkitan COVID-19.

Oleh yang demikian, Ketua Masyarakat perlu berani menegur sekiranya komuniti dibawah jagaan mereka mengingkari pematuhan SOP.

Mengenai Proses Pemvaksinan Komuniti yang akan bermula pada penghujung Februari ini pula, Ketua Masyarakat juga berperanan dalam menyampaikan maklumat dan hebahan yang sahih bagi mengelak berlakunya penularan berita palsu yang boleh mengelirukan.

Untuk itu, adalah dimaklumkan bahawa untuk Fasa 1 akan melibatkan semua Petugas Barisan Hadapan, manakala untuk Fasa Ke-2, melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi seperti warga emas, disusuli dengan Fasa Ke-3 melibatkan kumpulan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Justeru, proses untuk mendapatkan nama penerima sedang giat dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Daerah Sri Aman, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Pusat Khidmat DUN dan Parlimen.

Hadir dalam perbincangan tersebut, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Sri Aman,Harmizan Yahya, Temenggung Dato Samuel Lawan, Temenggung Mohd Shah Achang serta Temenggung Kuek Aik Seng. -EDISI UKAS

Share

add comment