Sokongan Orang Ramai Dalam Aktiviti Menderma Darah Masih Diperlukan Dalam Masa PKPB

ISNIN, 15 FEBRUARI 2021

MIRI: Penularan pandemik COVID-19 ketika ini telah menyebabkan kempen derma darah di kawasan awam tidak sesuai dan tidak dibenarkan. 

Bagaimanapun, Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Miri Datuk Lee Kim Shin, sokongan orang ramai terhadap kempen derma darah masih diperlukan bagi memastikan bekalan darah di Bahagian Miri mencukupi.

“Sokongan orang ramai kepada kempen derma darah masih diperlukan untuk memastikan bekalan stok darah Hospital Miri sentiasa mencukupi bukan sahaja penduduk Miri dan juga kawasan luar bandar.

“Penganjuran kempen derma darah seperti yang dianjurkan PBSM Miri ini dalam keadaan tertutup dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sangat dialu-alukan. 

“Orang ramai boleh melayari Portal Tabung Darah Hospital Miri di laman sesawang https://www.facebook.com/tabungdarahhospitalmiri/ atau menghubungi 085-416657/420033 sambungan (533 atau 536) untuk informasi lanjut,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Derma Darah sempena ‘Valentine Day’ di Pusat Latihan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri pada Ahad. 

Tambahnya lagi, sehingga kini, pusat latihan PBSM Miri telah berjaya menganjurkan 90 sesi menderma darah dengan jumlah 3,749 peserta berdaftar dan 3,262 penderma berjaya.

Hadir sama Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah PBSM Miri Karambir Singh. -EDISI UKAS

Share

add comment