Agenda Pembangunan Luar Bandar Terus Diperluaskan

SELASA, 16 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) meneruskan agenda pembangunan luar bandar. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Hazland Abang Hipni, ini adalah untuk memastikan setiap kawasan di negeri ini termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menerima pembangunan yang seimbang. 

“Sejak projek pembangunan seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diperkenalkan, telah banyak kawasan luar bandar di negeri ini mengalami membangun.

“Inilah hasrat dan tujuan projek pembangunan luar bandar yang diperkenalkan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dalam melihat pembangunan luar bandar dan bandar seimbang. 

“Lebih signifikan lagi, Kerajaan Sarawak di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah  meneruskan agenda pembangunan luar bandar dengan memperuntukan lebih 70 peratus daripada keseluruhan bajet untuk pembangunan luar bandar,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Projek Baik Pulih Padang Futsal Taman Sepakat Jaya yang bernilai RM50,000 baru-baru ini. 

Dalam perkembangan yang sama, Dr Hazland meminta supaya setiap masyarakat terutama penduduk di kawasan DUN Demak Laut supaya menjaga dan menghargai kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Hargai dan pelihara kemudahan infarstruktur yang disediakan kerajaan untuk kesejahteraan bersama. 

“Misalnya, kemudahan seperti padang futsal, gelanggang sepak takraw, dewan serbaguna dan sebagainya dibina untuk kemudahan rekreasi dan riadah untuk kesihatan selain mengasah bakat dalam sukan. 

“Ini sekaligus dapat membentuk masyarakat sihat dan meningkatkan taraf kehidupan penduduk,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share

add comment