JKM Tubuh 55 PDK Bantu Orang Kelainan Upaya, KWKPK Komited Bantu Pesakit Kanser Golongan B40

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menubuhkan sebanyak 55 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Sarawak untuk aktiviti pemulihan dan latihan kemahiran vokasional bagi golongan orang kelainan upaya (OKU).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, bagi kepentingan golongan ini, kementeriannya kini dalam proses menaiktaraf Pusat Pemulihan Samarahan (PPS) menjadi Pusat Kecemerlangan OKU di bawah JKM.

“Kita hendak bangunkan OKU Sarawak melalui peluang latihan yang lebih terancang dan berstruktur dengan menyediakan program-program pensijilan kemahiran bagi OKU dan melahirkan OKU yang mahir dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan peluang pekerjaan”

“Selain itu, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 melalui Kementerian Pendidikan, Sarawak akan mempunyai sekolah vokasional sendiri” katanya.

Dalam sidang media di pejabatnya pada Isnin, Dato Sri Fatimah menambah kementeriannya telah mengadakan lawatan ke pusat kemahiran sedia ada bagi mengenalpasti keperluan warga berkenaan semasa proses pembelajaran.

“Bagi kategori OKU pekak, mereka memerlukan latihan kemahiran bahasa isyarat dan bidang penyiaran.

“Manakala bagi OKU kategori buta, mereka memerlukan pembelajaran ICT & Braille, urutan & refleksologi dan muzik”

“Seterusnya kategori pembangunan OKU (SOSDA) mereka memerlukan latihan IT (reka bentuk grafik, microsoft office), kemahiran kuliner, sukan dan rekreasi, pengucapan awam, berkebun, literasi kewangan, fesyen & reka bentuk, seni persembahan, seni dan budaya” jelasnya

Terdahulu beliau menerima kunjungan daripada Persatuan Pembangunan Kemahiran OKU Sarawak (SOSDA) dan Persatuan Advokasi Dan Kesedaran Kanser (SCAN) Kuching.

Dalam sidang yang sama, Dato Sri Fatimah memberitahu, kementeriannya telah meminta Pihak Persatuan Advokasi Dan Kesedaran Kanser (SCAN) untuk mengemukakan kertas cadangan bagi membantu pesakit kanser dalam golongan B40 di negeri ini.

Jelasnya, berdasarkan statistik yang diperolehi, 70 peratus daripada pesakit kanser di negeri ini tergolong dalam kumpulan B40.

“Setiap pesakit kanser memerlukan rawatan yang berkala ke hospital sekurang-kurangnya 6 bulan hingga setahun iaitu bergantung kepada jenis dan tahap kanser yang dihadapi oleh pesakit.

“Rawatan kanser ini merangkumi pembedahan, kemoterapi, radioterapi, brachytherapy, transplantasi sumsum tulang, terapi hormon, imunoterapi dan terapi yang disarankan”katanya

Tambah beliau, kementerian kini memerlukan data mengenai kos dan juga pecahan pesakit kanser bagi setiap rawatan bagi meneliti pemberian subsidi yang diperlukan untuk diluluskan dalam mesyuarat kabinet” -EDISI UKAS

Share

add comment