Kerajaan Negeri Fokus Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar

SELASA, 16 FEBRUARI 2021

BINTANGOR: Pembinaan pelbagai infrastruktur asas bukti jelas keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap pembangunan di kawasan luar bandar.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei amat mengambil berat pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar khususnya di Daerah Meradong.

Beliau memberi contoh pembinaan baru Jambatan Rumah Panjang Regina di Sungai Selidap yang menelan kos sebanyak RM841,608.80 dan telah siap sepenuhnya.

Semasa meninjau projek itu pada Selasa, Datuk Ding berkata jambatan itu dapat menjamin tahap keselamatan penduduk rumah panjang yang selama ini berulang alik menggunakan perahu sebagai pengangkutan utama.

Selain itu katanya, banyak lagi infrastruktur seperti jalan perlu dibangunkan di kawasan Meradong terutama di kawasan rumah panjang kerana kebanyakannya terletak berdekatan dengan tebingan sungai.

Pembinaan jambatan yang bermula pada 28 Ogos 2020 itu siap awal dari tarikh asal pada 7 April 2021, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk rumah panjang berkenaan. – EDISI UKAS

Share

add comment