KPDNHEP Keluarkan 73 Notis Di Bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 Kepada Peniaga Di Seluruh Sarawak

SELASA, 16 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sarawak sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada berlakunya kenaikan harga makanan dan minuman. 

Pengarah KPDNHEP Negeri Sarawak Dato’ Stanley Tan dalam kenyataan media pada Selasa berkata, berdasarkan rekod dari 1 Januari 2021 sehingga 14 Februari 2021, sebanyak 7,791 premis telah diperiksa oleh KPDNHEP Sarawak di seluruh negeri Sarawak.

“Susulan daripada pemeriksaan ini, sebanyak 73 notis pengesahan maklumat barangan dan harga di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya. 

Tambah Dato’ Stanley lagi, peniaga yang melakukan aktiviti mencatut akan disiasat dan sekiranya sabit kesalahan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 14, AKHAP 2011.

“Bagi individu mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua, denda sehingga RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

“Manakala, bagi syarikat pula mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM500,000 dan bagi kesalahan kedua di denda sehingga RM1 juta,” tambahnya. 

Beliau turut memberitahu, seramai 176 orang anggota Penguat Kuasa KPDNHEP Sarawak akan sentiasa memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar bekalan barangan keperluan harian adalah mencukupi serta mudah diperolehi. 

Dalam pada itu, sebarang aduan atau pertanyaan boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, Call Centre 1800 886 800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar Ez ADU, Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245/6088, talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC), whatsapp ke 019-279 4317 dan lapor/hadir ke mana-mana 73 buah pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Aduan boleh juga disalurkan ke Bilik Gerakan Enforcement Command Centre (ECC) KPDNHEP Negeri Sarawak yang dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan seperti PPDNHEP Kuching 082-466052, PPDNHEP Sri Aman 083-323836, PPDNHEP Sarikei 084-657751, PPDNHEP Sibu 084-335622, PPDNHEP Kapit 084-799678, PPDNHEP Bintulu 086-332176, PPDNHEP Miri 085-412862, PPDNHEP Limbang 085-217414, PPDNHEP Mukah 084-872726 dan PPDNHEP Lawas 085-283650. -EDISI UKAS

Share

add comment