Lee Ling Timber Ambil Inisiatif Bina Jambatan Sementara Di Sungai Setuan

SELASA, 16 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Selepas berlakunya kejadian Jambatan Sungai Setuan runtuh disebabkan hujan lebat pada Ahad, Syarikat Lee Ling Timber Sdn Bhd telah mengambil insiatif untuk membina sebuah jambatan baharu di kawasan tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Long Napir Joshua Asong, jambatan yang dibina itu adalah bersifat sementara sahaja. 

“Pembinaan jambatan sementara ini adalah untuk membantu dan memudahkan akses serta perhubungan penduduk kampung di kawasan berkenaan yang terjejas kesan dari kejadian jambatan runtuh. 

“Bagaimanapun, jambatan yang dibina ini hanya dapat dilalui kenderaan kecil sahaja dan tidak sesuai untuk laluan kenderaan yang berkapasiti berat,” katanya pada Selasa. 

Tambah Joshua lagi, kerja-kerja baik pulih Jambatan Sungai Setuan itu akan dilakukan oleh Syarikat Lee Ling Timber Sdn Bhd sepenuhnya sebaik sahaja bahan-bahan binaan sampai di lokasi. -EDISI UKAS

Share

add comment