Pelan Vaksinasi Di Sarawak Bermula 27 Februari 2021

SELASA, 16 FEBRUARI 2021

KUCHING: Pelan vaksinasi di Sarawak seperti yang dijadualkan akan bermula pada 27 Februari ini. 

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak Dr Chin Zin Hing, untuk fasa pertama ini ianya dikhaskan kepada semua petugas barisan hadapan.

“Pelan Vaksinasi COVID-19 Sarawak bagi fasa pertama akan bermula pada 27 Februari 2021. Semuanya ada 56 pusat yang akan menyediakan perkhidmatan vaksinasi COVID-19 di seluruh Sarawak. 

“Untuk fasa pertama ini dikhaskan untuk petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan, polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak dan sebagainya,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian COVID-19 Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama pada Isnin. 

Tambah Dr Zin Hing, setiap petugas barisan hadapan perlu mendapatkan dua kali dos suntikan vaksin kerana vaksin yang disediakan itu adalah vaksin Pfizer. 

Antara 56 pusat kesihatan yang menyediakan perkhidmatan vaksinasi ialah Hospital Bau, Klinik Kesihatan (KK) Singai, Hospital Lundu, KK Stungkor, KK Batu Kawa, KK Jalan Masjid, KK Petra Jaya, KK Sentosa, KK Tanah Puteh dan Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Begitu juga dengan KK Kota Samarahan, Pusat Jantung Sarawak, KK Asajaya, KK Sadong Jaya, Hospital Simunjan, KK Ibu dan Anak (KKIA) Simunjan Bandar, Hospital Serian, KKIA Serian, KK Tebakang, KK Tarat, Hospital Sri Aman, dan KK Lubok Antu. 

“Hospital Betong, KK Mid Layar, KK Pusa, Hospital Saratok, Hospital Sarikei, KK Sarikei, KK Bintangor, KK Julau, KK Pakan, Hospital Kapit, KK Kapit, KK Song, Hospital Sibu, KK Jalan lanang, KK Sibu Jaya, KK Selangau, dan Hospital Kanowit,” ujarnya. 

Beliau menambah, Hospital Daro, Hospital Mukah, KKIA Mukah, KK Belaga, KK Sungai Asap, Hospital Bintulu, KK Jepak, KK Tatau, Hospital Marudi, Hospital Miri, KK Bandar Miri, KK Batu Niah, Hospital Lawas, KK Lawas dan Hospital Limbang turut menyediakan program vaksinasi COVID-19 fasa pertama itu. 

Ujar Zin Hing lagi, penambahan untuk pusat vaksinasi akan dilakukan pada fasa kedua dan ketiga program tersebut dan ini termasuk hospital swasta di Sarawak. -EDISI UKAS

Share

add comment