Timbalan Ketua Menteri Lakukan ‘Walkabout’ Tinjau Projek Kerajaan Di Spaoh

SELASA, 16 FEBRUARI 2021

SPAOH: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah melakukan ‘walkabout’ pada Selasa bagi melawat dua buah sekolah rendah dan meninjau perkembangan beberapa projek kerajaan yang sedang dilaksanakan di sekitar Daerah Spaoh.

ADUN Bukit Saban itu memulakan ‘walkabout’ beliau dengan meninjau bangunan baru Pejabat Daerah Kecil Spaoh yang telah siap dibina pada penghujung tahun 2020.

Ia diteruskan dengan lawatan ke SJK(C) Chung Hua Spaoh untuk menyerahkan cek peruntukan sebanyak RM2 juta bagi pembinaan baru bangunan sekolah tersebut dan SK Spaoh untuk meninjau perancangan menaik taraf prasarana sekolah berkenaan.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu kemudiannya meneruskan lawatan ke Tapak Projek Kompleks Sukan Spaoh; Tapak Projek Rumah Mampu Milik (Rumah Spektra Permata), Kampung Baru, Spaoh; Tapak Projek Riverfront Spaoh; Dewan Masyarakat Spaoh dan Tapak Projek Market Baru Spaoh.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua mengakhiri sesi ‘walkabout’ itu dengan melawat Pusat Khidmat DUN N.37 Bukit Saban untuk membincangkan perancangan berkaitan pembangunan infrastruktur di Pekan Spaoh.

Turut disentuh adalah projek naiktaraf bangunan lama Pejabat Daerah Kecil Spaoh untuk dijadikan sebagai Pusat Sumber dan IT Hub yang baru sahaja diluluskan.

Antara yang turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, Setiausaha Politik kepada YAB Ketua Menteri Sarawak, Dr. Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong, Friday Belik. – EDISI UKAS

Share

add comment