101 Kes Positif COVID-19 Kluster Tangap-Pasai Dikesan Dalam Kalangan Pekerja Kem Pembinaan

RABU, 17 FEBRUARI 2021

MIRI: Sebanyak 101 kes positif COVID-19 dari Kluster Tangap-Pasai telah dikesan dalam kalangan pekerja kem pembinaan di Daerah Subis. 

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri pada Selasa, kesemua mereka ini merupakan pekerja di kem pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Niah, Daerah Subis.

“Semua kes positif COVID-19 telah dimasukkan ke Hospital Umum Miri dan mewartakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19. 

“Mereka kini menjalani pemantauan dan rawatan tanpa sebarang komplikasi atau bergejala,” katanya. 

Tambah kenyataan itu lagi, seramai 254 penghuni kem pembinaan itu yang meliputi pekerja dan ahlli keluarga telah diuji negatif menerusi ujian calitan pertama RT-PCR COVID-19 dan mereka telah dibawa dan ditempatkan di pusat kuarantin bagi menjalani perintah kuartantin selama 14 hari. 

JPBB Miri menyampaikan penghargaan kepada Pejabat Residen Miri, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri, Hospital Besar Miri, Pasukan Pertahanan Awam Miri Polis Diraja Malaysia Miri dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di atas koordinasi dan kerjasama yang erat semasa operasi ini. 

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri akan melakukan pembersihan sanitasi di kem tersebut pada 17 Februari 2021. -EDISI UKAS

Share

add comment