4 Buah Rumah Panjang Dan Sebuah Estet Di Daerah Beluru Masih Dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan

RABU, 17 FEBRUARI 2021

MIRI: Sebanyak empat buah rumah panjang dan sebuah estet di Daerah Beluru masih lagi dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Rabu berkata Perintah Sekatan Pergerakan di empat buah rumah panjang berakhir pada 21 Februari ini manakala di estet pula sehingga 22 Februari 2021. 

“Antara empat buah rumah panjang di Daerah Beluru yang masih dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan sejak 7 Februari lalu ialah Rumah Pengabang, Rumah Matthew Tiri, Rumah Lawang dan Rumah Banyan.

“Sementara itu, sembilan buah rumah panjang lagi telah tamat Perintah Sekatan Pergerakan seperti yang dimaklumkan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri seperti Rumah Emah, Rumah Apol, Rumah Anthony, SRumah Chabu, Rumah Justine, Rumah Nelson, Rumah Clarence, Rumah Sabang dan Rumah Long Jeeh di Telang Usan,” katanya. 

Sementara itu, sebuah estet di Daerah Subis masih dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan yang bermula 22 Januari hingga 22 Februari ini manakala, tiga buah ladang dalam daerah yang sama telah tamat Perintah Sekatan Pergerakan pada 8 Februari lepas. 

Dalam perkembangan sama, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut memaklumkan Jabatan Kesihatan Miri telah melakukan pengesan kontak secara agresif di Daerah Beluru pada 12 hingga 14 Februari 2021 di empat buah rumah panjang dan sebuah kampung dan melaksanakan 307 ujian calitan COVID-19. 

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai berhati-hati dan bersama memerangi pandemik COVID-19 ini serta mengingatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP dan elakkan 3C iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) dan amalkan 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), serta mengikuti nasihat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (warn). -EDISI UKAS

Share

add comment