Kerajaan Sarawak Perlukan Dana Bagi Menyokong Kerja-Kerja Pemetaan Dalam RMK-12

RABU, 17 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak memerlukan dana dalam menyokong kerja-kerja pemetaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini akan memudahkan pengurusan mineral dan perlombongan bagi mempertingkat keberkesanan dan penguatkuasaan aktiviti perlombongan di negeri ini. 

Selain itu, turut diberikan perhatian ialah pertimbangan insentif kepada pemain-pemain industri bagi pembangunan perlombongan di peringkat ‘midstream’ dan ‘downstream’ bagi menggalak pelaburan selain berusaha memaksimumkan kutipan hasil negeri.

Beliau berkata demikian semasa mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara Pertama yang diadakan secara dalam talian di Wisma Sumber Alam pada Rabu. 

Mesyuarat tersebut buat julung kalinya diadakan dan dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar dan Timbalan Menteri dari seluruh negeri.

Dalam mesyuarat itu juga Datuk Amar Awang Tengah turut menekankan kedudukan Sarawak yang memiliki polisi dan prosedur tersendiri melalui perundangan ‘Minerals Ordinance, 2004’ dan ‘Minerals Regulations, 2012’ bagi mengawal keberkesanan dan penguatkuasaan aktiviti perlombongan selain memperkasakan Arahan Peraturan Kerja (APK) yang komprehensif bagi menangani perkara berkenaan dengan penjualan bahan batuan dan mineral keluar dari negeri Sarawak.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Abdullah Julaihi. -EDISI UKAS

Share

add comment