Ketua Menteri Lakukan Lawatan Kerja Ke Lubok Antu 23 Februari Ini.

RABU, 17 FEBRUARI 2021

LUBOK ANTU: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadualkan akan mengadakan lawatan kerja ke Lubok Antu pada 23 Februari ini.

Sehubungan itu, Pejabat Residen Bahagian Sri Aman pada Selasa telah menganjurkan mesyuarat bagi persediaan lawatan Ketua Menteri ke daerah berkenaan.

Antara intipati mesyuarat ialah isu keselamatan di pintu masuk sempadan di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu, lawatan ke projek rakyat iaitu Lubok Antu Riverine Park, penubuhan Ahli Jawatankuasa Lawatan Kerja Ketua Menteri ke Lubok Antu, taklimat ringkas di Pejabat Daerah Lubok Antu, penyerahan bakul makanan kepada petugas barisan hadapan di ICQS dan jamuan makan tengah hari di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Anak Lamoh.

Hadir sama, Residen Bahagian Sri Aman Indit Bangai, Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Alvis Didit dan Pegawai Daerah Lubok Antu Richard Ngumbang.-EDISI UKAS

Share

add comment