Mangsa Kebakaran Sungai Petai Terus Dibantu

RABU, 17 FEBRUARI 2021

SARIKEI: Pelbagai pihak terus menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran yang berlaku di Sungai Petai malam tadi.

Bantuan bencana diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing dan wakil agensi kerajaan yang lain semasa lawatan di lokasi kejadian pagi ini.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarikei menyumbang bantuan berupa wang tunai untuk pembelian makanan, pakaian, keperluan dapur dan bahan binaan semula rumah kebakaran berjumlah keseluruhan RM6,000.

Selain itu, pihak RELA Daerah Meradong dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menyumbang bantuan berupa makanan dan barangan keperluan.

Datuk Ding sendiri telah menyumbang RM500 untuk meringankan beban ahli keluarga mangsa.

Katanya, mangsa boleh berhubung terus ke Pusat Khidmat DUN Meradong jika ada sebarang keperluan atau bantuan yang diperlukan.

Datuk Ding turut berkongsi kesedihan dengan nasib menimpa mangsa yang masih dalam tempoh sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan berharap mereka bertabah dan bersabar dengan dugaan berkenaan.

Hadir sama Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Sarikei PPgB Mahmudin Narrudin, Pegawai Rela Daerah Meradong Sawanluddin, Pegawai Kebajikan Masyarakat Sarikei Siti Norfaida dan Kapitan Ham Chin Kim. – EDISI UKAS

Share

add comment