Penutupan Sementara Operasi Perniagaan Pasar Malam dan Siang, Pasar Tani dan Pasar Minggu Daerah Matu Dan Daro

RABU, 17 FEBRUARI 2021

MUKAH: Susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sarawak, kesemua sektor perniagaan di Daerah Matu dan Daro mula dibenarkan beroperasi berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. 

Namun sektor perniagaan di Pasar Tani Daro, Pasar Tani Tian Matu, Daro Dao Uptown, Penjaja Pantai Kuala Matu, Pasar Malam Tanjung Manis dan Pasar Minggu tidak dibenarkan beroperasi.

Rata-rata peniaga terbabit akur dengan penutupan tersebut dan memahami situasi berkenaan.

Manakala para peniaga yang telah memulakan operasi perniagaan menzahirkan kesyukuran kerana dapat membuka kembali mata pencarian mereka. 

Menurut seorang peniaga kedai makan di Medan Selera Matu, Ba’yah Mohd Sapawi ketika ditemui memberitahu sepanjang pembukaan semula premisnya, bilangan pelanggan masih berkurangan dan  beliau berharap agar pengunjung datang kembali ke situ.

Justeru pihak Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) berharap peniaga yang terjejas untuk terus bersabar dan berharap pandemik COVID-19 berakhir supaya keadaan kembali normal. 

Sepanjang tinjauan pada Rabu, peniaga di kawasan ini mematuhi SOP norma baharu.-EDISI UKAS

Share

add comment