Perintah Sekatan Pergerakan Dan ACD Perlu Dilaksanakan Di Rumah Panjang Di Sungai Sigu

RABU, 17 FEBRUARI 2021

BINTULU: Rumah panjang di Sungai Sigu yang salah seorang penghuninya telah didapati positif virus COVID-19 selepas menjalani saringan ujian calitan COVID-19 perlu diletakan di bawah Kawalan Sekatan Pergerakan. 

Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China Dato’ Seri Tiong King Sing dalam kenyataan media pada Selasa berkata, ini disebabkan tidak diketahui kontak rapat individu tersebut semasa berada di rumah panjang itu. 

“Penduduk di Rumah Panjang Ugop Umpin dan Rumah Panjang Saba, Nanga Sigu diminta mengurangkan pergerakan dan terus berada di rumah sahaja.

“Kedua-dua rumah panjang tersebut perlu diletakkan di bawah kawalan pergerakan penuh dan tiada sesiapa yang dibenarkan masuk atau keluar.

“Ini kerana, walaupun individu terbabit telah dihantar ke pusat kuarantin di Bintulu untuk pengasingan dan rawatan, dan tidak diketahui berapa ramai kontak rapat di rumah panjang tersebut,” katanya. 

Dalam kenyataan media yang sama, Dato’ Seri Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu memuji komitmen dan peranan petugas barisan hadapan yang turun padang dalam memastikan persiapan yang diperlukan untuk mengekang penularan wabak pandemik COVID-19. 

“Terima kasih kepada petugas barisan hadapan seperti Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, Pejabat Kesihatan Bintulu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu yang turun padang mengharungi perjalanan berjam lamanya menggunakan pengangkutan air untuk meninjau serta meneliti persiapan yang perlu. 

“Kesukaran pengagihan bantuan makanan dan penyediaan saringan ujian calitan COVID-19, pastinya akan menjadi cabaran besar untuk misi pengawasan dan pengesanan kes aktif (ACD),” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap agar seluruh masyarakat akan terus memberi bekerjasama untuk mengekang penularan wabak ini ke kawasan pedalaman dan akan terus memerangi sekali gus memutuskan rantaian wabak COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment