6 Taman Rekreasi Dibina Di DUN Senadin

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

MIRI: Sebanyak enam taman rekreasi telah dibina di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata kesemua projek tersebut di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020.

“Enam projek tersebut membabitkan Taman Rekreasi Lorong Desa Senadin 2D (Lot 2566) di Desa Senadin dengan kos RM100,000, Jalan Maigold 3 (Lot 4736) di Desa Senadin RM50,000, Jalan Maigold Promin Jaya 2 (Lot 6076) di Senadin RM50,000, Taman Besar Desa Murni 1 (Lot 6667) di Bandar Baru Permyjaya RM100,000, Desa Indah 1 (Lot 7755) di Bandar Baru Permyjaya RM50,000 dan Lorong Dato Permaisuri 3 (Lot 8698) di Desa Pujut, Permyjaya RM100,000.

“Sebahagian daripada projek tersebut telah siap dibina dalam fasa pertama ini termasuk kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan saliran,mencantas semak samun, dan membina trek larian dan bangku dan ada dua fasa lagi untuk menjadikan taman rekreasi ini lengkap dengan permainan kanak-kanak dan tempat senaman dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan ke tapak pembinaan taman rekreasi dan trek joging baru di Lorong Dato Permaisuri 3, Desa Pujut Permyjaya dan Desa Indah Fasa 3 Miri pada Rabu.

Datuk Kim Shin yang juga merupakan Menteri Pengangkutan Sarawak menambah projek taman ini juga adalah di bawah Pelan Rekreasi dan Hijau Miri 2018.

Beliau turut melahirkan komitmen bahawa setiap kawasan perumahan yang mempunyai tanah lapang di kawasan DUN Senadin akan dijadikan taman rekreasi dan trek larian di bawah Projek Kerajaan Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang. -EDISI UKAS

Share

add comment