ACD: Seramai 415 Individu Di Taman Univista Jalani Ujian Saringan COVID-19

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 415 dari 600 sampel penduduk Taman Univista telah diambil melalui proses Pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) dari rumah ke rumah pada Rabu.

Pegawai Kesihatan Bahagian Samarahan, Dr Norhazemi Hassan berkata, proses ACD tersebut telah dikendalikan oleh seramai 53 petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Jelas beliau, terdapat dua jenis pemeriksaan yang dilakukan bagi tujuan pengambilan sampel penduduk iaitu ‘Rapid Test’ (RT) dan ‘Polymerase Chain Reaction’ (PCR).

“Saranan daripada kita KKM minta semua penduduk di Taman Univista memberi kerjasama dan datang membuat saringan di pusat ujian dan bagi yang bergejala akan diberi keutamaan,” jelasya.

Bercakap ketika ditemui krew Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Dr Norhazemi menambah, para penghuni di taman berkenaan telah memberi kerjasama yang baik kepada para petugas semasa ACD dilakukan.

Tinjauan krew UKAS juga mendapati pergerakan penduduk di Taman Univista adalah terkawal dan mereka mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes positif COVID-19 di situ sejak awal minggu ini.

Sementara itu, Koperal Annel Jerim memberitahu, kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan adalah memuaskan.

“Dalam operasi ini seramai 48 anggota polis, 16 anggota tentera dan 16 anggota Rela ditugaskan mengawal kawasan Taman Univista sepanjang tempoh PKPD bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ini,” jelasnya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah mengisytiharkan Kluster Univista yang dikesan di Daerah Samarahan adalah kluster komuniti yang setakat ini melibatkan tiga lokaliti di Daerah Samarahan iaitu Kampung Muara Tuang, Taman Univista dan Taman Samarax. -EDISI UKAS

Share

add comment