Datu Len Sumbang RM15,000 Baiki Bumbung Rumah Omar

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

KUALA RAJANG: “Terima kasih, bumbung rumah tidak lagi diterbang angin,” itulah luahan Omar Ali Mek, 53 tahun pemilik rumah yang atap rumahnya dibaiki semula selepas musnah dilanda ribut di Kampung Lot Belawai baru-baru ini.

Katanya lagi, beliau tidak menyangka nasib malang yang menimpa rumahnya itu mendapat perhatian daripada Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

“Kini saya amat lega, rumah ini bukan sahaja berwajah baharu tetapi saya berasa lebih selamat dan selesa tinggal di dalamnya,” katanya yang bekerja sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Gesa, Belawai.

Dalam kejadian itu, kediaman Omar mengalami kerosakan teruk apabila bahagian bumbungnya diterbangkan angin.

Dia yang tinggal berseorangan di rumah itu bagaimanapun bernasib baik kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Datu Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang telah berkesempatan meninjau keadaan rumah mangsa sejurus menghadiri sebuah majlis rasmi di Dewan Masyarakat Kampung Rajang.

Dalam tinjauan itu, beliau menghulurkan sumbangan sebanyak RM15,000 untuk membaik pulih kediaman mangsa selain menampung upah tukang yang menyempurnakan pekerjaan berkenaan. -EDISI UKAS

Share

add comment