Kampung Hilir Sri Aman Kawasan Baharu Rabies

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengisytiharkan Kampung Hilir, Sri Aman sebagai kawasan baharu wabak Rabies.

Dalam kenyataan pada Khamis, Datuk Amar Douglas memberitahu kawasan tersebut adalah yang ke-67 berikutan lokasinya berada di luar 10 kilometer kawasan radius Rabies yang diisytiharkan sebelum ini.

Sehubungan itu, pemilik anjing dinasihatkan agar memastikan anjing peliharaan mereka disuntik vaksin anti-rabies setiap tahun dan kegagalan untuk berbuat demikian akan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, denda tidak melebihi RM2,500 serta anjing yang didapati tidak divaksinkan boleh ditahan dan dimusnahkan.

Manakala di bawah Seksyen 37, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, bagi kesalahan membiarkan anjing bebas dan keluar dari kawasan wabak rabies tanpa kebenaran akan dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Sekiranya haiwan peliharaan menunjukkan tanda-tanda rabies, disarankan untuk melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dengan kadar segera di talian 082-628248/082-610023 atau Whatsaap 016-2557267. -EDISI UKAS

Share

add comment