Kemudahan WiFi Dipasang Di 11 Kampung Daerah Tebedu

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

TEBEDU: Inisiatif kerajaan Sarawak untuk memasang kemudahan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) ke seluruh negeri kini mula dilakukan di daerah Tebedu melibatkan 11 buah kampung.

Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Tema, Kampung Kujang Mawang, Kampung Kujang Sain, Kampung Temong Bangan, Kampung Mayang Kawan, Kampung Bunan Gega, SK Daha, Kampung Mapu Kijabu, Kampung Gahat Mawang, Kampung Payau Brus dan Kampung Lobang Batu Mawang.

Pemasangan tersebut dikenali sebagai Projek Multimedia yang telah dimulakan sejak 8 Februari yang lalu.

Projek itu merupakan program atau inisiatif kerajaan Sarawak kepada rakyat secara percuma dan berfungsi sebagai penyelesaian sementara kepada penyambungan internet di luar bandar pada masa kini.

Pemasangan WiFi tersebut sekaligus membantu para pelajar luar bandar dan pedalaman Sarawak belajar menggunakan e-Pembelajaran dan pembelajaran dalam talian sebagai norma baharu di dalam sistem pendidikan negara disebabkan pandemik COVID-19.

Pemasangan WiFi berkenaan dikawal selia oleh pihak Lembaga Multimedia Sarawak (SMA). -EDISI UKAS

Share

add comment