Kerajaan Sarawak Prihatin, Penduduk Kampung Stika Terus Nikmati Pembangunan

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil perhatian yang berterusan dalam membawa pembangunan untuk rakyat termasuk di Kampung Stika di sini.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, kerajaan negeri telah melakukan beberapa projek untuk penduduk setempat bagi menikmati pembangunan secara berterusan.

Jelasnya, kampung tersebut kini sudah dapat dihubungi melalui jalan raya dengan kos lebih kurang RM6.5 juta yang ditanggung oleh kerajaan.

“Ini meliputi projek bagi membekalkan bekalan elektrik dengan kos sebanyak RM5 juta dan Dewan Masyarakat Baharu dengan kos RM300,000.

“Kos ini termasuklah jalan raya, membina dewan masyarakat ini adalah usaha daripada kerajaan Sarawak yang ingin melihat semua kampung dan rumah panjang dapat dihubungi melalui jalan raya, mempunyai bekalan elektrik dan mempunyai kemudahan seperti dewan masyarakat,” katanya selepas melakukan tinjauan kesan banjir di kampung tersebut pada Rabu.

Dalam pada itu, Datuk Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut memberitahu, dari segi pendidikan anak-anak penduduk kampung semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  murid-murid masih meneruskan pelajaran masing-masing di mana guru tetap memberikan tugasan dengan menggunakan pelbagai kaedah lain walapun bukan secara dalam talian.

“Bagi kawasan yang mana murid sukar dapat liputan internet, guru akan menggunakan pelbagai keadah lain termasuk memberikan tugasan kepada murid untuk dilaksanakan di rumah dan akan dihantar ke sekolah pada hari Khamis dan Jumaat oleh ibu bapa pelajar,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, pihak sekolah di kawasan Sebuyau juga mendapat bantuan geran kerajaan setiap tahun melalui  Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) masing-masing.

Selain itu, Datuk Julaihi juga mempunyai program NIE (News In Education) melalui langganan surat khabar dalam bahasa Inggeris sebagai bahan bacaan tambahan dan bahan rujukan tambahan bagi persediaan murid menghadapi peperiksaan awam seperti UPSR. -EDISI UKAS

Share

add comment