Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Majlis Perbandaran Padawan

RABU, 10 FEBRUARI 2021

KUCHING : Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Majlis Perbandaran Padawan  di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching hari ini.

Kunjungan yang diketuai oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Ir. Lo Khere Chiang tersebut bertujuan untuk membentangkan kertas cadangan bagi kompleks pejabat baharu Majlis Pembandaran Padawan.

Ketika ditemui, Khere Chiang  berkongsi kegembiraannya dengan merakamkan penghargaan kepada ketua menteri atas persetujuan meluluskan sebanyak RM60 juta bagi projek berkenaan.

“Pelbagai kemudahan disediakan di pejabat baharu ini, antaranya perpustakaan, auditorium, kemudahan sukan dan banyak lagi,” katanya.

Tambahnya lagi, pejabat baharu tersebut akan dibina berkonsepkan ‘green building’ dan  berdekatan dengan Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Hadir sama dalam kunjungan hormat, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Pengerusi Perbandaran, CR Dato’ Ahmad Ibrahim serta beberapa pegawai kanan perbandaran.-EDISI UKAS

Share

add comment