Naik Taraf Sistem Perparitan Atasi Banjir Kilat Di Kampung Pasir Pandak

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

KUCHING: Sistem perparitan yang sudah siap dinaik taraf di Kampung Pasir Pandak dijangka mampu mengurangkan masalah banjir kilat yang sering membelenggu penduduk setempat.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sistem perparitan tersebut dinaik taraf menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos sebanyak RM150,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menambah, projek parit konkrit sepanjang 70 meter tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan.

“Kebanyakan sistem perparitan di kawasan Pantai Damai masih memerlukan kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan bagi mengatasi masalah air bertakung dan banjir kilat,” katanya selepas meninjau projek RTP di Kampung Pasir Pandak pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, terdapat 32 projek RTP di kawasan berkenaan yang melibatkan pembinaan jalan kampung, rumah ibadat, dewan, gelanggang futsal dan pengkalan akan dilaksanakan pada tahun ini. -EDISI UKAS

Share

add comment