Pejabat Daerah Sarikei Anjur Community Policing Daerah Sarikei Tahun 2021 Siri Ke-4 & 5

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

SARIKEI: Seramai  50 orang Ketua-Ketua Kaum hadir pada program Community Policing Daerah Sarikei Tahun 2021 Siri Ke-4 anjuran Pejabat Daerah Sarikei bertempat di Pusat Inovasi Sarikei (SIC) pada Khamis.

Taklimat Modul Pemerkasaan Komuniti bagi mengekang penularan COVID-19 lebih memberi tumpuan kepada pemerkasaan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi semua aktiviti sosial atau acara serta perhimpunan, urusan kematian dan upacara pengebumian.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sarikei, Jahana Yusuf.

Turut diadakan sesi dialog berkaitan semua SOP yang dibentangkan Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Ranggau bagi memantapkan lagi maklumat serta penglibatan semua Ketua-Ketua Kaum yang hadir.

Objektif utama penganjuran program ialah bagi memperkasa ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) untuk memantau, menyelaras dan mengatur aktiviti di kampung dan rumah panjang masing-masing.

Ketua-Ketua Kaum juga disarankan agar meningkatkan kesedaran dan membuat publisiti mengenai bahayanya COVID-19 sekaligus dapat meningkatkan pematuhan terhadap SOP di kalangan rakyat serta memutuskan rantaian jangkitan.

Sepanjang Febuari ini Pejabat Daerah Sarikei telah merancang dan menganjurkan sebanyak enam siri program merangkumi keseluruhan Ketua-Ketua Kaum di Sarikei, Selalang dan Sare melibatkan 280 orang kesemuanya.

Sementara itu, pada sebelah petang telah diadakan Program Community Policing Daerah Sarikei Tahun 2021 Siri ke-5 bertempat di venue sama.

Taklimat modul memberi tumpuan kepada pemerkasaan pematuhan SOP bagi semua aktiviti sosial atau acara serta perhimpunan dan urusan kematian dan upacara pengebumian.

Semua (SOP) ini dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS).

Taklimat sesi petang disampaikan oleh Ainur Yazmin Zaini dari Pejabat Daerah Sarikei.

Sesi pada sebelah petang adalah taklimat kumpulan terakhir Ketua-Ketua Kaum bagi DUN Kuala Rajang dan akan diteruskan esok melibatkan Ketua-Ketua Kaum DUN Pakan.

Semasa sesi dialog bersama peserta, Christopher Ranggau, turut menyentuh berkaitan Program Imunisasi Kebangsaan yang akan dilaksanakan.

Katanya, Pejabat Daerah Sarikei akan menganjurkan sesi taklimat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjelaskan secara menyeluruh tentang Program Imunisasi Kebangsaan. – EDISI UKAS

Share

add comment