Petugas Barisan Hadapan Hospital Bintulu Dihargai, Ahli Parlimen Bintulu Sumbang Insentif Tunai Dan Pelitup Muka

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

BINTULU: Pengorbanan dan peranan yang dimainkan petugas barisan hadapan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Bintulu dalam memerangi penularan wabak pandemik COVID-19 sangat dihargai. 

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing menerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu yang juga Residen Bahagian Bintulu Jack Aman Luat telah menyerahkan insentif tunai dan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan. 

Turut disampaikan sebanyak 400 keping pelitup muka kepada Hospital Bintulu.

Simbolik penyerahan insentif dan sumbangan pelindung muka itu telah disampaikan kepada Timbalan Pengarah Hospital Bintulu, Dr Sivashunmugam Sangaran bertempat di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Rabu. 

Ketika ditemui, Jack Aman merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Sri Tiong di atas keprihatinan dalam memberikan insentif kepada petugas barisan hadapan seperti yang dijanjikannya sebelum ini semasa mesyuarat Perkembangan Terkini COVID-19 baru-baru ini.

Katanya, pemberian insentif itu wajar ekoran  mereka yang merupakan petugas barisan hadapan turut berhadapan risiko jangkitan kerana terpaksa turun ke lapangan dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

“Melihat kepada pengorbanan dan sumbangan mereka ini, wajarlah mereka ini diberikan insentif sebagai penghargaan di atas usaha dan penat lelah mereka dalam mengharungi penularan COVID-19,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment