PKPB: Pasar Tamu Balai Ringin Lengang, SOP Terus Dipatuhi

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

SERIAN: Suasana di Pasar Tamu Balai Ringin agak lengang berbanding kebiasaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tinjauan yang dilakukan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati semua premis beroperasi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Para peniaga juga didapati menyediakan kemudahan seperti pemeriksa suhu badan, pensanitasi tangan, penyediaan Kod QR My Sejahtera dan kelihatan para pengunjung turut menggunakan pelitup muka.

Sementara itu, seorang kakitangan Majlis Daerah Serian yang bertugas di pasar tamu tersebut, Frank Tan telah berkongsi mengenai operasi pasar tersebut setiap hari dan proses sanitasi yang dilakukan selepas beroperasi.

Jelasnya, waktu operasi pasar berkenaan tidak seperti kebiasaan iaitu dari 7 pagi hingga 1 petang sahaja dan jumlah pengunjung yang dibenarkan masuk ke pasar basah tersebut juga dihadkan dalam satu masa.

Dalam pada itu, seorang peniaga di pasar tersebut, Ramlah Yahya ketika ditemui mengakui pengunjung agak berkurangan sekaligus menjejaskan hasil jualan mereka.

Justeru, beliau yang telah berniaga di pasar basah tersebut selama 22 tahun berharap agar waktu operasi dapat dilanjutkan bagi meningkatkan pendapatan mereka. -EDISI UKAS

Share

add comment