PKPD: Seramai 780 Penduduk Taman Univista Terima Bantuan Bakul Makanan

KHAMIS, 18 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 780 orang penduduk di Taman Univista di sini menerima bantuan bakul makanan yang diagihkan oleh para petugas barisan hadapan pada Khamis.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) antara agensi yang terlibat dalam mengagihkan bantuan ke 111 buah rumah penghuni yang menjalani Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) sejak semalam.

Bantuan tersebut merupakan sumbangan bersama Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Amar Mohammad Ali Mahmud yang dihulurkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang terlibat dalam mengagihkan bantuan bakul makanan berkenaan.

Beliau menyifatkan kecekalan dan kesungguhan mereka tersebut sebagai wira yang tidak didendangkan kerana terus memberikan perkhidmatan yang terbaik meskipun terdedah dengan risiko dijangkiti COVID-19. -EDISI UKAS

Share

add comment