1,279 Kit SPM Dan Pelitup Muka Diagihkan Kepada Pelajar SPM Di Parlimen Sibuti

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

MIRI: Sebanyak 1,279 Kit Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelitup muka diagihkan kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM di lapan buah sekolah di kawasan Parlimen Sibuti pada Jumaat. 

Pemberian Kit SPM ini merupakan inisiatif Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni bagi memberi suntikan semangat kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM agar terus cemerlang dan dalam masa yang tetap mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika penularan COVID-19 dengan norma baharu.

Setiap pelajar menerima satu set Kit SPM dan 25 keping pelitup muka bagi kegunaan pelajar sepanjang menduduki peperiksaan SPM nanti. 

Sumbangan tersebut telah disampaikan pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Sibuti kepada setiap pengetua sekolah.

Antara sekolah-sekolah yang menerima Kit SPM dan pelitup muka ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Miri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam, SMK Taman Tunku, SMK Luar Bandar, SMK Bekenu, SMK Subis, SMK Suai dan SMK Agama. 

Usaha ini turut disambut baik semua pengetua, guru-guru dan pelajar  dalam usaha meringankan beban pelajar selain memberikan motivasi untuk mencapai kejayaan dalam SPM nanti.-EDISI UKAS

Share

add comment