4 Lokasi Dikenal Pasti Dijadikan Tempat Program Imunisasi COVID-19 Di Bintulu

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

BINTULU: Empat buah tempat telah dikenal pasti sebagai tempat pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 di Bintulu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat berkata empat lokasi tersebut masing-masing di Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Balai Raya Sebauh dan Dewan Sukan Tatau.

“Vaksin Pfizer dijangka tiba pada 7 Mac ini dan kumpulan pertama yang bakal menerima suntikan vaksin tersebut merangkumi petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), anggota keselamatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Satu pasukan bergerak juga telah dibentuk bagi memberi penerangan dan pemvaksinan kepada penduduk di kawasan pedalaman yang sukar diakses sambil menambah perkhidmatan doktor udara kemungkinan juga akan digunakan bagi tujuan tersebut,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan tapak ke Dewan Sri Kenyalang, UPMKB dan Auditorium BDA, Wisma Bintulu pada Khamis. 

Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu menambah, untuk memastikan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 berjalan lancar, satu simulasi pemberian vaksin akan diadakan terlebih dahulu. 

“ini termasuk mengenal pasti lokasi bersesuaian serta memastikan kemudahannya lengkap dan selesa untuk orang ramai.

“Saya berharap ketibaan vaksin COVID-19, dari syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech itu berjalan lancar,” tambahnya. 

Hadir sama Pegawai Daerah Bintulu Mohammad Dino Ahmid, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung dan Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili. -EDISI UKAS

Share

add comment