52 Kediaman Di Tebedu Dibaik Pulih Menerusi PPRMS

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

SERIAN: Kerajaan Sarawak terus membela kebajikan golongan kurang berkemampuan untuk mendiami kediaman yang selesa dan selamat menerusi inisiatif projek kecil luar bandar (MRP) Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, terbaharu seramai 52 keluarga yang kurang berkemampuan dari kawasan Tebedu akan dibantu menerusi PPRMS melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000.

Menurutnya, setiap kediaman penduduk tanpa mengira fahaman politik akan dibaik pulih dengan menggunakan sebanyak RM15,000 daripada kerajaan negeri.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membantu keluarga miskin di seluruh negeri tanpa mengira latar belakang keluarga, semuanya akan dibantu,” jelasnya semasa majlis penyerahan MRP-PPRMS DUN Tebedu pada Jumaat.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu menambah, semua ketua kaum diminta menghantar permohonan sekiranya masih terdapat kediaman, rumah panjang, gereja, dewan termasuk balai raya yang masih daif dan perlu dibaiki.

“Selain itu, ketua kaum boleh mengemukakan permohonan bagi projek bekalan elektrik luar bandar dan pembinaan menara telekomunikasi supaya rakyat di kawasan Tebedu dapat menikmati kemudahan telefon dan internet dengan lebih baik,” jelasnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Dr. Simon Sinang Bada dan Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw. -EDISI UKAS

Share

add comment