76 Peserta Dari Bukit Semuja Terima Anak Pokok Durian Musang King

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

SERIAN: Seramai 76 peserta dari kawasan Bukit Semuja menerima bantuan input pertanian iaitu lima anak pokok durian Musang King setiap seorang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus memberitahu, sebanyak RM13,300 telah diperuntukkan oleh Jabatan Pertanian melalui Biro Pertanian Bukit Semuja bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, beliau berharap semua peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan input pertanian yang diterima.

“Harapan saya adalah para penerima untuk menjaga dan menanam pokok Musang King dengan cara yang betul bagi mendapatkan hasil yang diinginkan,” katanya semasa majlis simbolik pengagihan bantuan input pertanian anak pokok durian Musang King pada Jumaat.

Sementara itu, beliau menjelaskan telah menerima banyak permohonan bantuan input pertanian, namun proses penelitian harus dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan kes nama peserta yang sama menerima bantuan.

Dalam pada itu, Ketua Kaum George @Joseph Dandu yang ditemui merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian di atas bantuan yang diberikan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana mengurus proses penerimaan bantuan hari ini,” ujarnya.

Bantuan tersebut telah memberi manfaat kepada 76 peserta iaitu 58 peserta dari Kampung Seroban, sembilan peserta dari Kampung Ranchan, empat peserta dari Kampung Remun, tiga peserta dari Kampung Hulu dan dua peserta dari Kampung Koran Plaman.-EDISI UKAS

Share

add comment