Kerajaan Sarawak Sentiasa Sokong NGO Jalankan Program

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di negeri ini menjalankan aktiviti-aktiviti untuk rakyat khususnya golongan kurang upaya (OKU).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri menyokong dengan memberikan geran untuk membantu mereka melakukan aktiviti.

“Kita melihat bahawa kemudahan dari segi sistem sokongan dan kerja-kerja pemulihan untuk anak-anak OKU kita, kita lihat kerja yang sangat baik dilakukan oleh pihak NGO seperti Wishesland.

“Kita dapat lihat ada beberapa, kita sudah kenal pasti beberapa buah NGO yang sudah menjalankan kerja-kerja pemulihan dengan baik sekali dan daripada itu kerajaan tentu sekali menyokong khususnya memberi geran untuk membantu dalam aktiviti yang dijalankan,” katanya ketika berucap selepas meninjau ke Wishesland bagi Pemantauan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Kuching pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian dana berjumlah RM20,000 kepada Wishesland bagi kerja pemulihan dan rawatan serta program yang dijalankan untuk kanak-kanak Cerebral Palsy di situ.

Ujarnya, ia merupakan hasil kerja keras dan kecemerlangan yang ditunjuk oleh Wishesland dalam mengendalikan rawatan dan pemulihan kanak-kanak Cerebral Palsy.

Sementara itu, hasil tinjauan mendapati Garis Panduan SOP dalam pencegahan jangkitan COVID-19 dipatuhi.-EDISI UKAS

Share

add comment