Laluan Baharu Perkhidmatan Bas Hidrogen Diperkenalkan

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd telah memperkenalkan laluan baharu bagi perkhidmatan bas hidrogen percuma di kawasan Kuching bersempena ulang tahun pertama operasi percubaan bas hidrogen tersebut yang bermula 22 Januari 2020.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, beliau berbangga di atas inisiatif penambahan laluan tersebut dan menekankan bahawa ulang tahun pertama operasi percubaan bas hidrogen itu merupakan tonggak utama bagi sektor pengangkutan awam di Sarawak.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada SEDC dan Sarawak Metro kerana memperkenalkan laluan baru ini dan saya percaya akan memberikan pilihan yang lebih baik kepada warga kota dari segi perjalanan yang lebih selesa dan mesra alam.

“Dalam jangka masa satu tahun ini, kita telah membuktikan bahawa teknologi hijau iaitu kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) ini dapat berfungsi dengan baik bagi menjadikan bandar lebih bersih dengan sistem pengangkutan awam pintar sekaligus mempersiapkan kita ke arah Sistem Pengangkutan Bandaraya Kuching (KUTS),” katanya ketika dalam satu majlis ringkas sempena ulang tahun pertama operasi percubaan bas hidrogen di Kuching pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa operasi percubaan bas tersebut menghadapi banyak cabaran sejak dilancarkan terutama sekali sekatan keselamatan sepanjang penularan COVID-19.

“Saya amat menghargai kerja keras Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan anak syarikatnya yang dimiliki sepenuhnya Sarawak Metro Sdn Bhd serta kerjasama yang ditunjukkan oleh pengeluar bas, Foshan Feichi Automobile Manufacture Co., Ltd, dalam memastikan operasi percubaan bas hidrogen dapat dijalankan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Abdul Aziz Dato Husain menjelaskan operasi percubaan bas hidrogen itu telah memberi gambaran berharga kepada mereka mengenai kerja-kerja mengendalikan FCEV hidrogen berat, terutamanya bagi tujuan pengangkutan awam.

“Dengan bas hidrogen ini di Kuching, kami mempelajari lebih banyak perkara mengenai kemungkinan yang ditawarkan oleh ekonomi hidrogen dan potensi besar aplikasi berkaitan sel bahan api hidrogen yang akan membantu mengurangkan pelepasan karbon dan mewujudkan persekitaran yang lebih bersih,” katanya.

Manakala laluan baharu yang diperkenalkan adalah lanjutan daripada Downtown Heritage Loop dan satu perhentian baharu bertempat di Jalan Tun Abang Haji Openg yang akan membawa penumpang dari atau ke Hospital Umum Sarawak bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari.

Turut disediakan dua perjalanan percuma ke Damai Central pada hujung minggu pada jam 10.00 pagi dan 2.00 petang, melalui Damai Loop.

Perjalanan bagi kedua laluan ini pula bermula dari perhentian bas di hadapan Riverside Majestic Hotel.-EDISI UKAS

Share

add comment