Lebih 100,000 Penduduk Bahagian Serian Dijangka Menerima Vaksin COVID-19

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

SERIAN: Program vaksinasi COVID-19 di Bahagian Serian dijangka melibatkan seramai 108,000 orang penduduk.

Residen Bahagian Serian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Serian, Tuah Suni berkata, jumlah itu mungkin lebih semasa program tersebut dijalankan nanti.

Ujarnya, pihaknya juga akan meningkatkan usaha untuk mempromosi program vaksinasi itu dikalangan penduduk selain menyangkal tanggapan negatif terhadap vaksin tersebut.

“Kita menjangka seramai 108,000 orang penduduk di Serian atau lebih daripada jumlah itu akan mendapat vaksin ini.

“Pihak kita juga akan mempromosi program vaksinasi ini selain mengadakan program kesedaran agar penduduk lebih memahami akan kepentingan untuk mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa Simulasi Program Vaksinasi COVID-19 Bahagian Serian di Dewan Masyarakat Serian pada Jumaat.

Tuah juga menambah, program vaksinasi di daerah Serian akan bermula pada atau selepas 24 Februari ini yang bermula dengan fasa pertama untuk petugas barisan hadapan.

Sementara itu, beliau menyeru masyarakat di Serian untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin sebagai langkah memerangi penularan COVID-19.

Simulasi Program Vaksinasi Covid-19 yang diadakan tersebut merupakan sebahagian daripada latihan untuk mengukuhkan kefahaman tentang proses vaksinasi kepada anggota kesihatan serta agensi yang terlibat sebelum pemberian suntikan sebenar bermula.

Ianya juga bagi mengenalpasti beberapa pekara yang perlu diberi perhatian untuk melancarkan program vaksinasi yang dijangka bermula minggu hadapan. -EDISI UKAS

Share

add comment