Orang Ramai Dinasihatkan Berwaspada, Jalan Kampung Semunin Cina Terputus

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

LUNDU: Pengguna jalan raya yang melalui Kampung Semunin Cina diingatkan agar berhati-hati disebabkan laluan berkenaan terputus akibat kejadian tanah susur pada awal pagi Jumaat.

Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu dipercayai berlaku ekoran hujan lebat yang berterusan sehingga mengakibatkan beberapa kawasan rendah dilanda banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu memberitahu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Lundu telah dimaklumkan berkenaan perkara tersebut.

Jelasnya, JKR Daerah Lundu telah memaklumkan bahawa jalan raya yang terputus akan dibaiki dengan kadar segera bagi keselamatan pengguna jalan raya.

“Pihak JKR serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lundu dan agensi-agensi yang berkaitan akan mengambil tindakan segera ke atas kejadian ini,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap semua penduduk menjaga keselamatan dan tidak panik dengan keadaan banjir kilat tersebut. -EDISI UKAS

Share

add comment