Seramai 235 Mangsa Banjir Dipindahkan Di Lima PPS Daerah Samarahan

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN: Seramai 235 mangsa banjir daripada 63 keluarga dipindahkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Daerah Samarahan selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir.

Setakat jam 4 petang Jumaat, antara PPS yang dibuka adalah PPS Balairaya Kampung Sungai Empit, PPS Dewan Suarah Kota Samarahan, PPS Dewan Masyarakat Kampung Pangkalan Kuap, PPS Surau Kampung Bukit Berangan dan PPS Kampung Merdang Lumut.

Antara kampung dan taman perumahan yang terjejas akibat banjir adalah Kampung Tanjung Bundong, Kampung Plaie, Kampung Sungai Empit, Kampung Merdang Lumut, Kampung Pangkalan Kuap dan Taman Muara Tuang Park.

Pegawai Daerah Samarahan, Anuar Da’an telah membuat lawatan dan tinjauan ke PPS Dewan Suarah Kota Samarahan dan diberi taklimat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Samarahan mengenai keadaan terkini dan jumlah mangsa yang telah dipindahkan. -EDISI UKAS

Share

add comment