TUDM Jayakan Misi Penghantaran Bekalan Makanan Dan Keperluan Asas Di Dua Penempatan Rumah Panjang

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

BINTULU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menjayakan misi penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas di dua penempatan Rumah Panjang Ugop Umpin dan Rumah Panjang Saba Mergi di Daerah Bintulu yang dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan pada Jumaat. 

Dalam kenyataan pada Jumaat, menjelaskan ini merupakan usahasama TUDM dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak yang diwakilkan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Sri Tiong King Sing bersama Kementerian Pertahanan dengan menggunakan sebuah helikopter TUDM dari Pangkalan Udara Labuan.

“Helikopter EC 725 AP dari No. 5 Skuadron telah bertanggungjawab melaksanakan penugasan bantuan penghantaran ini melibatkan  penghantaran sebanyak 2,880 kg bekalan makanan dan keperluan asas seperti beras, sardin, mi segera, telur, minyak diesel, gula dan garam,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, operasi ini bermula dari tempat pengumpulan barang bantuan di Lapangan Terbang Bintulu dan seterusnya diterbangkan ke lokasi penempatan rumah panjang tersebut. 

“Misi yang bermula pada jam 10 pagi dan tselesai sepenuhnya pada jam 1.00 petang melibatkan dua sortie penerbangan.

“Operasi ini telah diketuai juruterbang, Mejar Megat Suhaide Megat Daud dibantu Pembantu Juruterbang, Kapten Shamie Hazim Samsu dan Kuartermaster Udara, PW U I Zakaria Othman serta tiga orang anggota kejuruteraan,” jelasnya. 

Sebagai organisasi barisan hadapan, TUDM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas dan bersiap sedia untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan mendukung usaha kerajaan untuk memastikan masyarakat sentiasa selamat dan sejahtera terutamanya dalam tempoh pandemik COVID-19 ini. -EDISI UKAS

Share

add comment