Tujuh Keluarga Terjejas Akibat Kebakaran Di Kampung Hilir Terima Bantuan

JUMAAT, 19 FEBRUARI 2021

SRI AMAN: Tujuh keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Hilir, Simanggang pada 16 Januari lepas terus menerima sumbangan.

Terbaharu, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis menyampaikan sumbangan sebanyak RM31,500 kepada mereka di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman pada Jumaat.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau memberitahu, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat bertanggungjawab memastikan semua mangsa yang terlibat dengan bencana akan dibantu.

Jelas beliau, ia adalah bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa terlibat sekaligus memastikan mereka mendapat keperluan harian yang mencukupi.

“Kerajaan negeri memahami kepayahan yang dilalui oleh semua mangsa khususnya selepas menghadapi bencana. Kita juga berharap mereka bersabar dengan dugaan dan berusaha untuk memulakan kehidupan baru,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, semua mangsa kebakaran menerima jumlah bantuan yang berbeza mengikut taksiran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. -EDISI UKAS

Share

add comment