16 JKKK, 4 PIBG Di Bintangor Terima Peruntukan MRP ADUN Semop

SABTU, 20 FEBRUARI 2021

BINTANGOR: Sebanyak 16 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk empat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sungai Selidap dan Sungai Sian, Bintangor menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN Semop, Abdullah Saidol berjumlah keseluruhan RM159,731.

Peruntukan tersebut diserahkan Abdullah semasa lawatan kerja beliau untuk meninjau status beberapa projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan itu pada Sabtu.

Dalam ucapan ringkasnya, Abdullah yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan UKAS berkata peruntukan disalurkan susulan permohonan dari pertubuhan-pertubuhan tersebut bagi tujuan untuk pembelian perabot asas seperti kerusi dan meja untuk kegunaan JKKK Rumah Panjang dan kampung tersebut.

Manakala permohonan dari PIBG pula melibatkan pembelian beberapa peralatan bantuan pengajaran seperti beberapa unit komputer, mesin cetak, alat siaraya dan projektor.

Menurut Abdullah lagi, hampir kesemua 22 buah sekolah dalam kawasan DUN Semop telah menerima sumbangan pelbagai peralatan elektronik dan media tersebut termasuk peralatan-peralatan sukan.

Katanya, PIBG SK Selidap pula menerima peruntukan sebanyak RM39,000 untuk membina baru laluan berbumbung untuk guru dan pelajar.

Dalam lawatan kerja tersebut, beliau turut menerima beberapa permohonan baru dari Ketua-ketua Masyarakat termasuk aduan-aduan seperti talian telefon dan internet yang lemah, kerosakan jeti dan jalan disebabkan cuaca serta perkara yang berkaitan dengan kebajikan masyarakat.

Antara tapak projek yang ditinjau Abdullah ialah projek membaikpulih rumah panjang dan naiktaraf jalan raya.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan penduduk di Bintangor agar sentiasa mematuhi garis panduan PKPB bagi membendung penularan wabak COVID-19 di daerah berkenaan. – EDISI UKAS

Share

add comment