Ahli Parlimen Kota Samarahan Gesa Percepatkan RTB Di Samarahan

SABTU, 20 FEBRUARI 2021

KOTA SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang melakukan tinjauan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Daerah Samarahan pada petang Sabtu.

Mengulas situasi itu, Rubiah Wang berkata, pihaknya sedang berusaha meminta kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak untuk menyegerakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Samarahan.

Menurutnya, projek RTB tersebut telah dibangkitkannya sejak tahun 2017.

Terdahulu, beliau menyerahkan bantuan segera kepada beberapa PPS iaitu di Kampung Pengkalan Kuap, Kampung Sungai Empit, Surau Kampung Bukit Berangan dan Dewan Suarah Kota Samarahan semasa membuat lawatan semalam.

Fenomena hujan lebat yang berterusan pada sejak tengah malam Khamis telah menyebabkan sebahagian besar kawasan di Daerah Samarahan dinaiki air dengan cepat.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Taman Samarindah, Taman Muara Tuang Park, Kampung Pengkalan Kuap termasuklah kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Taman Univista.

Kawasan lain yang turut terjejas ialah Kampung Tanjung Bundong, Kampung Muara Tuang, Kampung Sindang, Kampung Plaie, Kampung Rembus, Kampung Entingan, Kampung Nangka, Kampung Sungai Empit dan Kampung Merdang Lumut.

Bencana banjir semalam juga telah menyebabkan sebahagian Lebuhraya Kuching-Samarahan Expressway dinaiki air sehingga hanya satu laluan dapat digunakan dan mengakibatkan kesesakan luar biasa kepada pengguna jalan raya. -EDISI UKAS

Share

add comment