Kerajaan Pusat Salur Peruntukan RM300,000 Kepada DUN Kuala Rajang

SABTU, 20 FEBRUARI 2021

BELAWAI: Kerajaan Pusat telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk diagihkan kepada persatuan-persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di DUN Kuala Rajang.

Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh pada tahun lepas kawasannya menerima peruntukan sebanyak RM200,000 juga dari kerajaan pusat.

Katanya, meskipun menerima peruntukan dari kerajaan pusat namun peruntukan melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Wakil Rakyat juga akan tetap diteruskan serta diagihkan untuk pembangunan keseluruhan DUN Kuala Rajang.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan pelitup hidung dan mulut, thermoscan dan QR Kod MySejahtera kepada semua sekolah di Zon Tanjong Manis di SK Abg Gesa pada Sabtu.

Pada majlis sama, Datu Len turut menyampaikan cek kepada semua 37 JKKK di Zon Tanjong Manis berjumlah keseluruhan RM39,000.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua yang menerima peruntukan itu menggunakannya untuk manfaat rakyat dan tidak disalahgunakan.

Mengulas tentang pembukaan sesi persekolahan bermula Mac depan, beliau berkata akan mengagihkan lebih banyak lagi pelitup hidung dan mulut, pembersih tangan dan thermoscan untuk digunakan di setiap sekolah di kawasan DUN Kuala Rajang.

Turut hadir Pemanca Morshidi Moris, Guru Besar SK Abg Gesa Alawi Sidek, Penghulu dan Ketua-Ketua Kaum.

Sementara itu, Datu Len Talif turut berkesempatan mengadakan lawatan kerja di beberapa tapak projek yang sedang dijalankan di sekitar Belawai.

Antara yang dilawati beliau ialah pembinaan pasar basah bersebelahan Taman Selera Pasar Ria dan projek naiktaraf Taman Pantai Belawai.

Beliau amat prihatin tentang perkembangan projek kerana kesemua projek amat bermakna dan mampu memberi manfaat besar kepada rakyat.

Taklimat berkaitan perkembangan projek disampaikan oleh Setiausaha Majlis Daerah Matu Daro (MDMD), Ahmad Jerry Hashim.

Datu Len juga berkesempatan untuk melawat rumah Omar Ali Mek di mana projek baikpulih bumbung yang rosak akibat ribut telah siap.

Beliau amat bersyukur dan berterima kasih kepada Datu Len atas keprihatinan dan tindakan segera menyalurkan bantuan. – EDISI UKAS

Share

add comment