Projek Pembinaan Jambatan Batang Lupar Telah Dimulakan

SABTU, 20 FEBRUARI 2021

SEBUYAU: Projek Pembinaan Jambatan Batang Lupar tetap dilaksanakan seperti yang dirancang.

Justeru Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, pihak kontraktor sudah memulakan kerja-kerja peringkat awal pembinaan projek jambatan tersebut bermula 7 Januari 2021.

“Kita nampak kalau kita bandingkan dengan lawatan pertama, kita sudah nampak bahawa tapak dimana bermulanya Jambatan Batang Lupar itu sudah ditimbus dan menjadi lebih bersedia untuk dibangunkan sebagai permulaan tapak Jambatan Batang Lupar.

“Cuma yang saya nak nyatakan disini ialah inilah kerja yang berada di peringkat awal dan mereka telah timbuskan, mereka telah memulakan tugas kerja-kerja di tapak lapangan,”Katanya kepada media selepas melakukan tinjauan ke tapak projek jambatan berhampiran Pengkalan Feri Sebuyau/ Triso pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau turut memberitahu, tarikh baru bagi majlis pecah tanah akan diumumkan kelak bergantung kepada perkembangan semasa wabak COVID-19 yang masih membimbangkan.

Datuk Julaihi berkata, projek yang ditanggung sepenuhnya kerajaan sarawak itu akan menghubungkan Sebuyau dengan Triso serta menggantikan perkhidmatan feri sepenuhnya di sungai tersebut yang dijangka siap pada Januari 2025 iaitu dalam tempoh 48 bulan.

Projek tersebut melibatkan pembinaan jambatan dua lorong sehala mengikut piawai jalan JKR R5 dengan panjang keseluruhan 4,844 meter.

Beliau dalam pada itu mengakui cabaran yang dihadapi pekerja sepanjang menjalankan proses pembinaan dan turut mengingatkan pihak kontraktor agar sentiasa mengamalkan garis panduan yang ditetapkan agar risiko COVID-19 dapat dikurangkan di lapangan. -EDISI UKAS

Share

add comment