Pusat Komersial Desa Inisiatif Bantu Golongan Nelayan, Petani

SABTU, 20 FEBRUARI 2021

TELLIAN: Pusat Komersial Desa atau Village Commercial Centre merupakan satu lagi lagi inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu golongan nelayan dan petani di kawasan Mukah dan Oya memasarkan hasil laut dan tani mereka.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, pihaknya merancang untuk mewujudkan empat VCC di kawasan Tellian Tengah, Kuala Petanak, Judan dan Kampung Kuala Lama.

Katanya, VCC di Tellian Tengah telah mula beroperasi sementara VCC Kuala Petanak hampir lengkap dan dijangka mula beroperasi tidak lama lagi.

Jelas Yussibnosh lagi, VCC Judan juga hampir siap manakala  VCC di Kampung Kuala Lama masih menunggu kelulusan tapak dari Jabatan Tanah dan Survei.

“Pasca pandemik COVID-19 merupakan masa yang sangat mencabar dan memberi kesan kepada rakyat dari segi pekerjaan dan ekonomi.

“Inilah merupakan salah satu platform dalam memberi peluang perniagaan dan pekerjaan kepada isi rumah setempat,” katanya berucap semasa merasmikan Pusat Komersial Desa Tellian pada Sabtu.

Katanya, selain daripada menjanakan ekonomi pengusaha dan pihak JKKK Tellian Tengah itu sendiri, pembinaan VCC juga bertujuan memperkembangkan pemasaran ikan PNK Mukah/Oya sesuai dengan motto iaitu merealisasikan ‘Perikanan & Pertanian Suatu Perniagaan’.

Menyentuh mengenai Pasar Terapung Tellian, katanya projek berkenaan telah diluluskan dan hanya menunggu kelulusan tapak dari Jabatan Tanah dan Survei.

Katanya, prasarana itu akan dilengkapi struktur kekal iaitu jambatan dan pengkalan belian termasuklah gazebo dan tandas di lokasi kawasan kampung tradisi.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Mukah Paleadzman Ahip, Pengurus Besar PNK Mukah/Oya Awang Mohaini Awang Chee, Pengerusi PNK Mukah/Oya Ali Hamid dan Wakil MDDM dan Coastal Borneo Kaunselor Felix Pieng. – EDISI UKAS

Share

add comment