Sekolah Rendah Mula Dibuka 1 Mac, Sekolah Menengah Di Sarawak Dibuka 5 April

SABTU, 20 FEBRUARI 2021

KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pembukaan sekolah di negara ini bermula 1 Mac 2021 yang melibatkan murid Pra-sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sidang media pada Jumaat memberitahu, pembukaan semula sekolah bagi memberi ruang kepada guru membiasakan anak-anak dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu.

“KPM telah membuat keputusan supaya murid pra-sekolah, murid tahun 1 dan murid tahun 2 akan ke sekolah terlebih dahulu.

“Ini akan memberi ruang kepada guru-guru untuk membiasakan anak-anak ini dengan SOP baharu di sekolah dan juga untuk guru-guru bersama-sama dengan ibu bapa mencari kaedah terbaik berkaitan dengan penyuraian anak-anak pada akhir persekolahan,”

Manakala bagi Tahun 3, Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 pula akan bermula pada 8 Mac 2021.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Radzi turut memberitahu, pembukaan sekolah bagi pelajar sekolah menengah kerajaan dan swasta di Sarawak akan bermula pada 5 April 2021.

Jelas beliau lagi, pelajar Kolej Vokasional untuk Sijil Vokasional Malaysia Tahun 1 (semester dua) dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun 1 (semester dua) akan memulakan pengajian pada 1 Mac 2021.

Katanya, sekolah antarabangsa dan IPS kategori pusat termasuk pusat tuisyen boleh dibuka bermula 8 Mac 2021.-EDISI UKAS

Share

add comment