191 Penduduk Menerima Pampasan Lebih RM29.3 Juta Untuk 7 Projek Di Daerah Limbang

AHAD, 21 FEBRUARI 2021

LIMBANG: Lebih RM29.3 juta diagihkan kepada 191 orang penerima bagi pampasan 7 buah projek di Daerah Limbang. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Jabatan Tanah dan Survei telah mengenal pasti mereka yang terlibat dan akan menyerahkan cek pampasan tersebut secara berperingkat.

“Jumlah pampasan yang akan kita serahkan pada hari ini keseluruhanya adalah RM29,352,231.33 untuk 7 projek sahaja. Ini adalah jumlah pampasan, bayangkan berapa jumlah untuk kos melaksanakan sesuatu projek itu.

“Terima kasih kepada mereka yang terlibat dan memberikan kerjasama yang begitu baik dalam proses pengambilan balik tanah-tanah ini dan ianya bukan percuma tetapi dibayar dengan pampasan,” katanya.

Semasa berucap dalam Penyerahan Cek Pampasan Bagi Projek-Projek NRDA di Daerah Limbang pada Sabtu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menambah ini menunjukkan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah banyak menyalurkan dana untuk melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur untuk kemudahan masyarakat di Daerah Limbang. 

Antara 7 Projek Pembangunan yang dilaksanakan di Daerah Limbang ialah Projek Anjung Usahawan Limbang, Limbang Resettlement Scheme, Projek Jalan Baru Dari Bukit Lubok ke Kampung Seberai Kedai, Tapak Projek Integrated Administrative Centre (IAC) Limbang, Projek Naik Taraf dan Bina Baru Jalan dari Kampung Pendam ke Kampung Ipai Limbang, Trailer Parking Centre, Limbang dan Projek Rakyat Jalan Ulu Tubai Menuju ke Mentawai/ Gunung Buda Limbang.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Shahmoni, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi. -EDISI UKAS

Share

add comment