ADUN Kuala Rajang Agih Peruntukan Kepada 21 JKKK

AHAD, 21 FEBRUARI 2021

SARIKEI: Sebanyak 21 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sarikei dan Selalang menerima peruntukan berjumlah RM40,000 sumbangan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh.

Selain itu, 11 sekolah dalam kawasan DUN Kuala Rajang turut menerima sumbangan pelitup hidung dan mulut, thermoscan dan QR Kod MySejahtera dalam majlis diadakan Dewan Sri Nyelong, Sarikei pada Ahad.

Sumbangan tersebut akan memberi manfaat kepada hampir 3000 pelajar, guru dan kakitangan sekolah di Zon Sarikei.

Ketika ditemuramah, Datu Len memberitahu program tersebut merupakan kesinambungan dari program yang diadakan pada minggu lepas.

Ujarnya, semua sumbangan berkenaan untuk membantu rakyat yang kini tertekan akibat penularan COVID-19.

Beliau dalam pada itu mahu semua Ketua-Ketua Kaum selaku pemimpin di akar umbi menjalankan tugas serta tanggungjawab kepada rakyat di bawah jagaan masing-masing.

Sementara itu, Datu Len berkata pengagihan pelitup hidung dan mulut akan diperluaskan ke seluruh pelajar di kawasan DUN Kuala Rajang.

Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai untuk terus mematuhi garis panduan (SOP) bagi memastikan kawasan Sarikei kekal zon hijau wabak COVID-19.

Hadir pada majlis Temenggong Awangku Ibrahim Awangku Hosien, Pemanca Awang Kenit Awang Mohammad, Ketua-Ketua Kaum dan wakil dari sekolah. – EDISI UKAS

Share

add comment