ADUN Semop Salur RM215,682 Peruntukan Kepada 6 JKKK, 4 PIBG, 4 JK Masjid Dan 2 Tabika Kemas

AHAD, 21 FEBRUARI 2021

SEMOP: Sebanyak RM215,682 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol disalurkan kepada enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), empat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), empat Jawatankuasa Masjid dan dua tadika KEMAS di sekitar DUN Semop.

Penyampaian sumbangan diadakan secara ringkas oleh Abdullah pada Ahad di empat lokasi iaitu Masjid Kampung Betanak, Dewan Kampung Penibong, Dewan Kampung Semop dan Dewan Kampung Serdeng. 

Ketika ditemuramah, Abdullah yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS berkata peruntukan berkenaan adalah permohonan yang diterima bagi tujuan membaik pulih kemudahan awam dan pembelian perkakas asas untuk majlis JKKK dan Jawatankuasa Masjid.

Manakala peruntukan untuk PIBG katanya bagi pembelian pelbagai peralatan elektronik bantuan pengajaran seperti komputer, mesin cetak dan projektor.

Antara senarai penerima ialah JKKK Rumah Panjang Isa yang menerima RM50,000 dan JKKK Kampung Sedo RM24,700 untuk menaiktaraf jeti awam.

Manakala JKKK Kampung Betanak menerima RM50,000 untuk projek baik pulih jambatan dalam kampung.

Penerima lain adalah JK Masjid Kpg Betanak, JK Masjid Lama Kpg Bruit, JKKK Kpg Penipah, JKKK Kpg Penibong, JK Masjid Kpg Penibong, JKKK Kpg Penuai, PIBG SMK Semop, PIBG SK Semop, Tabika Kemas Kpg Kut, Tabika Kemas Kpg Sebako, JK Masjid Abu Bakar As-Siddiq Kpg Sebako, JKKK Kpg Serdeng, PIBG SK Kpg Serdeng dan PIBG SK Telok Gelam.

Menurut Abdullah lagi, pihaknya turut menerima beberapa permohonan baru yang banyak melibatkan gotong-royong kerana keadaan cuaca telah menyebabkan beberapa kemudahan awam mereka rosak seperti jeti dan sebagainya.

Pada masa sama, beliau memohon pihak PIBG untuk sentiasa memantau dan melaporkan dengan segera permasalahan dihadapi murid-murid dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak mereka kerana tidak mahu mereka ketinggalan sesi pembelajaran.

Beliau bersama Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab kemudiannya memantau beberapa projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan gotong-royong di beberapa kampung dalam kawasan itu.

Sementara itu, Yusuf berkata semua 41 PIBG dalam kawasan Parlimen Tanjong Manis akan menerima peruntukan iaitu sebanyak RM5000 bagi PIBG sekolah rendah dan RM10,000 bagi PIBG sekolah menengah bagi kegunaan menjalankan aktiviti.

Selain itu katanya, semua pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk para guru dan kakitangan sekolah di Tanjong Manis akan diagihkan pelitup muka dan pembersih tangan.

Menurut Yusuf lagi, pihaknya juga bercadang untuk menyumbang baucer persekolahan berjumlah RM50 kepada setiap pelajar di kawasan parlimennya. – EDISI UKAS

Share

add comment