Capaian Internet, Persekitaran Dan Peralatan Teknologi Cabaran Utama Pendidikan Secara Maya

AHAD, 21 FEBRUARI 2021

MIRI: Capaian internet merupakan cabaran utama kepada pendidikan anak-anak menghadapi pendidikan secara maya. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, ini kerana keadaan kemudahan liputan capaian internet di kawasan bandar lebih daripada kawasan luar bandar.

“Pembelajaran melalui alam maya merupakan perkara baru terutama dalam pandemik COVID-19. 

“Sudah pasti semua pelajar akan berasa sedikit kesukaran di peringkat awal untuk menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran ini. 

“Bagi mereka yang berada di luar bandar mungkin mengalami kekurangan capaian internet. Jadi, ini akan menjejaskan perhubungan pelajar itu dengan cikgu dan juga cikgu akan berhubung dengan ramai pelajar,” katanya. 

Bercakap dalam Program Sembang Sabtu ‘Inspirasi Belia’ bersama ADUN Lambir PDC Bakam pada Sabtu, Ripin menambah peralatan atau kemudahan teknologi juga memainkan peranan penting selain capaian internet dan persekitaran pembelajaran dalam pendidikan secara maya.

“Kecanggihan peralatan teknologi juga memainkan peranan penting. Untuk keluarga yang mampu, mereka boleh membeli peralatan teknologi yang canggih. Tetapi, untuk mereka yang kurang mampu dan keluarga susah, kemudahan peralatan itu kurang. Ini sudah pasti akan menjejaskan dari segi pemahaman dan pembelajaran anak-anak,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment